Wednesday, 1 July 2015

AIR BERSIH. AIR SELAMAT.



Air merupakan salah satu elemen penting yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia dan hidupan lain. Perkembangan tamadun dan peradaban dunia juga berhubung rapat dengan air. Ia bukan sahaja penting sebagai sumber minuman dan makanan bagi manusia dan hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan, ia juga perlu untuk aktiviti perindustrian, sumber tenaga elektrik, perubatan dan lain-lain lagi. 

Air dan manusia

Hampir 70 % tubuh manusia terdiri dari air.
Manusia memerlukan air antara 1.5 liter  - 3 liter air sehari
Air untuk penghidratan
Air penting untuk metabolism tubuh
Memelihara keseimbangan cairan tubuh
Melancarkan proses pencernaan
Melarutkan dan membuang sisa metabolik dari ginjal


Bagi manusia, adalah penting untuk mendapatkan air bersih sebagai air minuman dan makanan. Di Malaysia, air permukaan merupakan sumber utama air mentah. Air hujan yang turun mengalir ke dalam sungai, kolam, tasik atau empangan binaan manusia. Air bersih merupakan air yang bebas dari mikroorganisme penyebab penyakit dan bahan-bahan kimia lain yang dapat memberi kesan terhadap kesihatan manusia. Akan tetapi, kebanyakan sumber air kita telah dicemari dengan sisa-sisa buangan domestik, perlombongan  dan perindsutrian. Pencemaran ini sudah tentunya akan menyebabkan perubahan ke atas kualiti air seperti struktur fizik, kimia dan mikrobiologinya.  

Justeru, air perlu di rawat dahulu sebelum diagihkan kepada pengguna. Air terawat yang disalurkan oleh pembekal air kepada pengguna adalah mengikuti piawaian WHO dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sudah tentu kebesihan dan tahap selamat kegunaannya di yakini. 

Proses rawatan air


Rawatan air merupakan proses membuang bahan cemar daripada air mentah bagi menghasilkan air yang selamat untuk digunakan manusia dari segi kimia dan bakteriologikal. Air juga perlu diterima dari segi estetiknya, bebas dari kekeruhan yang nyata, bau dan warna yang tidak menyenangkan. Loji rawatankonvensional meliputi proses-proses berikut:

1) Penyaringan
Pada permulaan, serpihan kayu, dedaun, tumbuhan akuatik dan bendasing yang terapung akan diasingkan melalui proses saringan. Selepas disaring, bahan terampai yang lebih padat akan dibuang dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang mana ia akan mendap ke dasar.

2) Pengudaraan
Air mentah yang dipam dicampur dengan udara di ruang pengudaraan. Proses pengudaraan menghasilkan oksigen dari atmosfera bagi pengoksidaan besi dan mangan terlarut kepada bentuk tidak larut bagi tujuan menyingkirkannya. Proses ini juga membantu membuang rasa dan bau yang tidak menyenangkan.

3) Koagulasi dan Flokulasi 
Koagulan, lazimnya tawas ditambah bagi membentuk partikel mikroskopik di dalam air. Ia kemudiannya diadun dengan lembut bagi membolehkan partikel kecil di dalam air berlaga dan bergabung bagi membentuk kentalan yang boleh mendap.

4) Sedimentasi 
Kentalan dibenarkan mengalir melalui tangki sedimentasi seseragam yang mungkin untuk suatu tempoh yang cukup panjang untuk membolehkannya mendap. Air yang jernih akan dikumpulkan dari bahagian atas.
Bagi kentalan yang ringan, proses yang berbeza akan digunakan. Gelembung udara minit digunakan di dalam proses ini. Kentalan akan melekat pada gelembung udara dan terapung ke atas. Air jernih akan dikumpulkan dari dasar tangki. Proses ini dinamakan  Pengapungan Udara Terlarut.

5) Penapisan
Air yang telah mendap akan melalui penapis yang memerangkap partikel halus dan bakteria. Air yang bersih kemudiannya akan memasuki tangki air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash dengan kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran operasi.

6) Disinfeksi / Pelarasan pH
Air di dalam tangki jernih akan diinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang kekal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas atau kompaun klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan menggunakan kapur atau abu soda.

7) Tangki Air Jernih
Air yang telah dirawat akan dikumpul dan disimpan di dalam tangki air jernih bagi tujuan pengagihan.




No comments:

Post a Comment